Pages

August 31, 2010

Lailatul Qadar


Bilakah Waktu Sebenar Lailatul Qadar?
Ia berlaku setiap tahun, bukannya hanya pada ketika ia diwahyukan atau tahun ayat itu diturunkan sahaja. Pertamanya, Lailatu Qadar hanya akan berlaku dalam bulan Ramadhan. Kedua, kebanyakan ulama berpendapat bahawa Lailatul Qadar berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Ini adalah pendapat yang paling rajih (absah). Ketiga, ia berlaku pada malam-malam ganjil iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan. Walaubagaimanapun, Nabi Muhammad s.a.w. sendiri tidak pernah memaklumkan bilakah waktu sebenar Lailatul Qadr.

Apakah Dasar Keimanan Tentang Lailatul Qadar?
Di antara perkara yang perlu diimani dalam perkara berkaitan Lailatul Qadr ialah:
1. Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul Qadr.
2. Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan yang membawa maksud bahawa setiap amalan yang termakbul pada malam itu samalah dengan amalan yang setara dengannya sebanyak amalan seribu bulan.
3. Para Malaikat dan ruh diturunkan pada malam tersebut.
4. Sejahtera malam itu hingga terbit fajar (masuknya waktu Subuh).
5. Ibadah yang jujur, ikhlas, konsisten, iltizam dan khusyuk pada sebarang masa.
6. Tiada tanda-tanda fizikal yang dijelaskan oleh nas kecuali khabar-khabar angin semata.

Apakah Amalan Pada Malam Lailatul Qadar?
Ia adalah malam yang cukup istimewa yang tidak kedapatan pada mana-mana malam. Amalan yang mesti dilakukan pada malamnya ialah memperbanyakkan ibadah, membaca Al-Quran, beriktikaf dan berdoa. Dalam sebuah hadis daripada Aisyah r.a. berkata:
``Ya Rasulullah bagaimana kalau saya bertemu Lailatul Qadar? Apa yang harus saya ucapkan pada malam itu?'' Baginda bersabda: Ucapkanlah: ``Ya Allah kami bermohon pada-Mu, Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengampuni (hamba hamba-Mu), maka ampunilah (dosa-dosa) kami.'' (Riwayat Tirmizi, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad). Doa lain yang baginda baca ialah seperti berikut yang bermaksud: Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat, dan peliharalah kami dan siksa neraka (QS Al-Baqarah [2]: 201).

Mitos Dalam Masyarakat Melayu Mengenai Lailatul Qadar
Menemui malam Al-Qadr tidaklah melalui tanda-tanda fizikal. Hanya Allah jualah yang mengetahui siapa yang dianugerahkanNya menemui malam tersebut. Tiada siapa sebenarnya mengetahui bilakah berlakunya atau telah berlakunya malam Al-Qadr. Di antara kejadian pelik yang merupakan mitos yang dikaitkan dengan malam Al-Qadr ialah:
1. Air sungai berhenti mengalir.
2. Pepohon menunduk.
3. Bekunya air.
4. Pokok sujud ke bumi
5. Ufuk langit merah
Sebenarnya, pengalaman merasai malam Al-Qadr tidaklah dapat dirasai atau dialami oleh pancaindera. Kalaupun perkara-perkara pelik itu berlaku, ia hanyalah satu kebetulan dan ketentuan Allah s.w.t. semata-mata. Rebutlah beramal di malam-malam 10 terakhir Ramadan tanpa perlu melihat tanda-tanda fizikalnya. Adapun orang yang mengalami malam tersebut, adakalanya mereka sendiri mengetahui bahawa malam itu ialah malam Al-Qadr. Namun demikian, Allah lebih mengetahui. Ramai juga yang tidak mahu tidur pada malam yang dijangkakan Lailatul Qadr kononnya untuk bertemu dengan malam tersebut. Ini satu lagi perkara tahyul dan tidak berasas. Pokok terpenting ialah mempertingkatkan amalan-malan pada 10 malam terakhir Ramadan. Kalaupun seseorang bertemu dengan malam Lailatul Qadr, akan tetapi tidak mempunyai amalan, persiapan ibadah atau penyucian batin, maka tidaklah ia mendapat keberkatan dan manafaat malam tersebut.

Petanda Berlakunya Lalilatul Qadar
Petanda berlakunya malam istimewa ini boleh diketahui pada malam tersebut ataupun pada pagi berikutnya. Namun demikian, semua petanda yang diberikan dalam Hadis adalah terlalu umum dan sukar untuk dihuraikan kerana ketiadaan tanda spesifik dan berfokus. Petanda pada waktu malam ialah riwayat Imam Ahmad bin Hanbal “Tandanya adalah langit bersih, terang bagaikan bulan sedang purnama, tenang, tidak dingin dan tidak pula panas ...”. Hadis ini menepati keadaan dan suasana malam Al-Qadr yang sejahtera, tenang dan damai. Insyaallah pada malam Lailatul Qadr, barangkali langit tidak akan kelihatan awan hitam atau gumpulan awan tebal yang mengotorkan langit dengan noda. Katakanlah walau pada malam 27 Ramadan, langit kelihatan terang seperti malam 15 atau 16 bulan purnama. Maksud tenang sukar untuk digambarkan, mungkin merujuk kepada ketenangan malam dan suasana. Cuaca dan suhu tidak dingin dan tidak panas. Kalau di Malaysia barangkali antara 24 hingga 29 darjah celsius. Petanda waktu pagi selepas malam Al-Qadr pula ialah riwayat Imam Muslim, Abu Daud, dan Al-Tirmidzi antara lain meriwayatkan melalui Ubai bin Ka'ab yang bermaksud: ”Tanda kehadiran Lailatul Qadr ialah matahari pada pagi harinya (kelihatan) putih tanpa sinar (nya).” Apakah yang dimaksudkan di sini matahari tidak kelihatan kemerah-merahan pada waktu pagi? Wallahu A’lam.

Rumusan
Setiap fakta berkaitan malam Al-Qadr adalah perkara pokok dalam sistem kepercayaan Islam dan mesti diyakini sepenuhnya. Kita mesti bersedia dengan sepenuh persediaan amalan ibadah untuk mendapatkan malam Al-Qadr. Rugilah mereka yang tidak mengejarnya untuk mendapat keberkatan, keampunan dan keredhaan Allah s.w.t..

Sumber: Pusat Islam, UPM 

Sedar tak sedar, kita dah sampai ke sepuluh malam terakhir Ramadhan. Sama2lah kita menghayati malam-malam terakhir Ramadhan pada tahun ni. Takkan ada kepastian untuk kita bertemu Ramadhan yg akan datang. Renung2kan dan selamat beramal. InsyaAllah...

No comments: